APA ITU APEL.Q?
Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan [APEL.Q] adalah proses penilaian pembelajaran (formal / tidak formal / bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapatkan kelayakan akademik bagi program yang dimohon. Penekanan harus diberi kepada konsep utama APEL.Q iaitu penilaian ke atas kebolehan individu tersebut untuk menggunakan pembelajaran yang dicapai melalui pengalamannya dalam mencapai hasil pembelajaran atau badan pengetahuan sesuatu program.Kebaikan APEL.Q:
- Mengiktiraf pembelajaran yang diperoleh daripada pendidikan formal, pengalaman kerja dan kursus-kursus pendek yang diikuti;
- Mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar;
- Menggalakkan kemasukan calon dewasa ke program pendidikan tinggi; dan
- Mengurangkan kos dan masa untuk memperoleh kelayakan akademik.
Polisi Umum APEL.Q
- Semua individu sama ada Warganegara atau Bukan Warganegara layak memohon sebagai calon pelajar tertakluk kepada keperluan minimum yang telah ditetapkan.
- Permohonan calon: memenuhi keperluan minimum
- Penilaian pembelajaran pengalaman terdahulu - pengetahuan, kemahiran, kompetensi, kepakaran (formal, tidak formal & bukan formal)
- Program yang telah mendapat Akreditasi Penuh
- Penilaian: berasingan bagi setiap program [berasaskan hasil pembelajaran/kompetensi program]
- Semua bidang pengajian & semua tahap kelayakan MQF kecuali bagi program 100% penyelidikan
- Program Profesional - tertakluk kepada penerimaan oleh badan professional
- Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang telah berjaya dalam penilaian pelaksanaan APEL.Q akan diiktiraf sebagai Pusat Penilaian APEL.Q dan diberikan perakuan akreditasi untuk tempoh sah laku 5 tahun.
Tahap MQF | Kelayakan | Tahun pengalaman kerja minimum dalam bidang berkaitan |
3 | Sijil | 5 tahun |
4 | Diploma | 10 tahun |
5 | Diploma Lanjutan | 12 tahun |
6 | Ijazah Sarjana Muda | 15 tahun |
7 | Ijazah Sarjana | 20 tahun |
8 | Kedoktoran | 25 tahun |