Skip to main content

APA ITU APEL.C?

Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kredit [APEL.C] adalah proses penilaian pembelajaran (tidak formal dan bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus dalam program yang sedang diikuti. Penekanan harus diberi kepada konsep utama APEL.C iaitu penilaian ke atas kebolehan individu tersebut untuk menggunakan pembelajaran yang dicapai melalui pengalamannya dalam mencapai hasil pembelajaran sesuatu kursus.

FUNGSI APEL.C:

  1. Mengiktiraf pembelajaran yang diperoleh daripada pengalaman kerja dan kursus-kursus pendek yang diikuti;
  2. Mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar;
  3. Menggalakkan kemasukan calon dewasa ke program pendidikan tinggi; dan
  4. Mengurangkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian.

DASAR UMUM APEL.C

Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang ingin melaksanakan APEL.C perlu mematuhi dasar APEL.C seperti berikut:

  1. APEL.C boleh diguna pakai bagi pelajar berdaftar menggunakan kedua-dua kemasukan konvensional dan APEL.A;
  2. Penilaian pembelajaran yang dilakukan adalah termasuk pembelajaran yang diperoleh melalui Massive Open Online Courses (MOOC) atau mana-mana kaedah pembelajaran kendiri;
  3. PPT boleh melaksanakan APEL.C hanya selepas mendapat kelulusan MQA melalui permohonan APEL.C;
  4. APEL.C boleh dilaksanakan bagi semua bidang dan tahap kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia. Pelaksanaan APEL.C bagi tahap pascasiswazah adalah terhad kepada kursus dalam program secara kerja kursus dan mod campuran;
  5. APEL.C hanya boleh dilaksanakan bagi kursus dalam program yang sekurang-kurangnya telah mendapat Akreditasi Sementara; dan
  6. Kursus dalam program profesional boleh dipertimbangkan untuk APEL.C dengan kebenaran daripada badan profesional yang berkaitan. PPT bertanggungjawab untuk mendapat kelulusan ini.

Secara umumnya, dasar penganugerahan kredit melalui APEL.C membenarkan pindah kredit maksimum sebanyak 30% daripada jumlah keseluruhan kredit bergraduat sesuatu program. Peratusan ini ialah tambahan kepada peruntukan dasar pindah kredit sedia ada.

Pelaksanaan APEL.C juga terpakai bagi program Diploma Eksekutif. Pemberian 30 kredit berdasarkan 3 tahun pengalaman kerja seperti yang dinyatakan dalam Standard: Diploma Eksekutif perlu dilaksanakan menerusi penilaian menggunakan instrumen APEL.C.



F A Q

1. Apa itu APEL.C?

APEL.C ialah kaedah penilaian ilmu yg diperoleh daripada pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan pindahan kredit untuk kursus dalam program akademik di Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT).

2. Apakah perbezaan antara APEL yang dilancarkan sebelum ini dengan APEL.C?

APEL yang dilancarkan sebelum ini adalah untuk tujuan kemasukan ke PPT iaitu dikenali sebagai APEL(Access). APEL.C atau APEL(Credit) pula adalah untuk tujuan mendapatkan pindahan kredit.

Melalui pelaksanaan APEL.A dan APEL.C, individu yang mempunyai pengalaman yang luas bukan sahaja boleh masuk ke program di PPT tetapi juga boleh menggunakan pengalamannya untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus tertentu dalam program pengajian. Justeru itu, pelajar dapat melengkapkan pengajiannya dalam tempoh yang lebih singkat.

Bagi tujuan permohonan penilaian APEL.C, seseorang itu mesti berstatus pelajar (telah berdaftar dalam program pengajian di PPT).

3. Bilakah APEL.C mula dilaksanakan?

APEL.C mula dilaksanakan pada September 2016.

4. Siapakah yang akan melaksanakan penilaian APEL.C terhadap pelajar?

APEL.C akan dilaksanakan sendiri oleh PPT terhadap pelajarnya dengan syarat PPT tersebut telah mendapat kelulusan untuk mengendalikan APEL.C daripada MQA. Bagi menjamin kualiti penilaian, PPT perlu melaksanakan APEL.C dengan bertunjangkan Garis Panduan Amalan Baik: APEL.C terbitan MQA yang merangkumi dasar pengendalian APEL.C dan panduan pembinaan instrumen penilaian.

5. Adakah ditetapkan had umur untuk memohon APEL.C?

Tiada. APEL.C tidak seperti APEL.A yang menetapkan had umur tertentu bagi setiap tahap pengajian.

6. Adakah APEL.C hanya terhad kepada warganegara dan pelajar yang melalui laluan APEL.A?

Tidak. APEL.C terbuka kepada semua pelajar di PPT yang telah mendapat kelulusan menjalankan APEL.C, sama ada berstatus warganegara atau pelajar antarabangsa. APEL.C juga terbuka kepada semua pelajar tidak kira kaedah kemasukan ke program pengajian, sama ada melalui laluan APEL.A atau konvensional.

7. Adakah pelajar yang memohon APEL.C perlu menduduki peperiksaan untuk mendapatkan pindahan kredit?

Pelajar yang memohon APEL.C kepada PPT akan dinilai tetapi bagaimana bentuk penilaian adalah bergantung kepada kesesuaian bidang. Ia tidak semestinya peperiksaan. Kaedah penilaian boleh dalam bentuk demonstrasi, temu duga penilaian portfolio dan sebagainya.

8. Berapakah jumlah pindah kredit maksimum yang dibenarkan di bawah APEL.C dan bolehkah seseorang pelajar memperoleh kedua-dua pindah kredit APEL.C dan pembelajaran formal?

Pindah kredit maksimum di bawah APEL.C adalah 30%. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan formal dan pengalaman, mereka boleh memperoleh kedua-dua pindah kredit APEL.C dan pembelajaran formal. Contohnya, pelajar yang mempunyai Diploma dan pengalaman kerja, boleh mendapat pindah kredit maksimum 30% [APEL.C] dan 30% (pembelajaran formal) untuk kemasukan ke Sarjana Muda.

9. Bagaimanakah MQA akan memastikan semua pihak yang berkaitan melaksanakan APEL.C dengan betul?

Pertamanya bagi memastikan PPT mampu melaksanakan APEL.C dengan baik, hanya PPT yang telah lulus penilaian MQA sahaja dibenarkan untuk menjalankan APEL.C.

Skop penilaian MQA terhadap kemampuan pelaksanaan APEL.C oleh PPT merangkumi dua aspek utama iaitu sistem pengurusan dan kemudahan di PPT serta keupayaan PPT dalam membina dan mengaplikasikan instrumen penilaian APEL.C.

Keduanya MQA akan memantau pelaksanaan APEL.C di PPT semasa lawatan akreditasi dan audit institusi.

10. Bolehkah kolej, kampus cawangan atau anak syarikat di bawah sesuatu PPT induk mengguna pakai kelulusan penilaian APEL.C yang telah diperoleh oleh PPT induk?

Tidak boleh. Setiap institusi perlu memohon APEL.C secara berasingan kepada MQA kerana ia mempunyai Senat masing-masing dalam membuat keputusan berkaitan akademik.

11. Adakah proses rayuan bermaksud semakan terhadap keputusan penilaian APEL.C yang telah dikeluarkan kepada pelajar?

Ya. Proses rayuan selepas keputusan gagal penilaian APEL.C dikeluarkan hanya melibatkan semakan semula keputusan tersebut dan bukan penghantaran semula bukti tambahan atau menduduki semula penilaian. Pelajar perlu mengikuti kursus tersebut sepertimana pelajar biasa jika gagal permohonan pindah kredit APEL.C.

12. Bolehkah PPT yang telah mendapat kelulusan melaksanakan APEL.C meminda amaun fi pelajar bagi proses penilaian APEL.C?

Boleh kerana penetapan fi APEL.C kepada pelajar adalah di bawah bidang kuasa PPT. Oleh itu, penetapan dan pindaan terhadap fi tidak perlu merujuk kepada MQA.

13. Adakah pelaksanaan APEL.C ini selaras dengan amalan baik di luar negara?

Ya, sudah tentu. APEL.C dibina bertunjangkan himpunan amalan-amalan baik dari pelbagai badan jaminan kualiti di dalam dan luar negara, universiti terbuka dan lain-lain institusi berkaitan.

14. Apakah kebaikan APEL.C?

Antara kebaikan APEL.C ialah:

  1. memungkinkan pelajar menghabiskan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat;
  2. menggalakkan individu yang bekerja untuk kembali belajar;
  3. mengiktiraf pengalaman pembelajaran individu yang diperoleh di luar aliran formal;
  4. mengelakkan pembelajaran yang berulang;
  5. boleh mengurangkan kos pengajian pelajar;
  6. menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu;
  7. salah satu kaedah untuk mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat
  8. mewujudkan masyarakat berilmu bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara dan pembangunan sosial; dan
  9. menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran.